M-Update,16/2/2019, KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-73 semalam meluluskan kertas cadangan menjadikan aplikasi i-Tegur sebagai saluran rakyat membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini berkata, pengguna boleh menghantar aduan bergambar bersama lokasi tepat melalui telefon pintar bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap sebarang aduan diterima.
“Aplikasi ini akan membantu PBT dalam pengurusan aduan yang lebih cekap dan cepat seiring perubahan demografi dan gaya hidup masa kini,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, itu turut meluluskan tiga kertas cadangan lain, membabitkan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) dan Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang di kawasan PBT.
Selain itu, kertas cadangan yang turut diluluskan ialah Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang oleh Kementerian Kesihatan. – BERNAMA