Bagi tahun 2019, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi tumpuan dalam menyokong usahawan sedia ada dalam menghadapi suasana ekonomi yang semakin mencabar. MARA bukan sahaja komited dalam memberi pinjaman, malah MARA juga komited dalam membantu dan memberi sokongan terhadap para usahawan.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan untuk terus membantu usahawan tempatan, sejajar dengan matlamat asal penubuhannya, iaitu membantu meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah Bumiputera. Pengerusinya, Dr Hasnita Hashim, berkata usahawan yang sudah mendapat pembiayaan MARA akan terus dibantu untuk mengukuhkan perniagaan mereka.
Selain itu, usahawan baru juga akan dibantu akan tetapi, pemilihan untuk kumpulan tersebut akan lebih ketat dan bergantung kepada kriteria tertentu.
Sementara itu, Hasnita berkata, MARA akan turut memberi tumpuan kepada dua agenda utama menerusi inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB), iaitu memantapkan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat dan mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bagi meningkatkan nilainya dan kedua-dua agenda ini perlu kerangka kerja dan tadbir urus yang baik.