Input your search keywords and press Enter.

69 maut, kebakaran pangsapuri di Bangladesh

M Update, 21/2/2019 – Angka kematian dalam kebakaran pangsapuri di kawasan Chawkbazar di sini, meningkat kepada 69 orang, dan ramai lagi penghuni dilaporkan masih terperangkap di bangunan itu. Bangunan yang terletak di kawasan lama Dhaka itu, turut dijadikan gudang menyimpan bahan kimia, termasuk semburan badan dan bahan granul yang mudah terbakar.

Insiden itu dipercayai berlaku pada jam 10.40 malam (waktu tempatan), semalam dan sejak itu, 200 anggota bomba bertungkus lumus, mengawal serta memadam kebakaran. Puluhan mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri, kerana laluan sempit di sebelah bangunan itu dipenuhi dengan kenderaan.

Ketua perkhidmatan bomba Bangladesh, Ali Ahmed, berkata jumlah mangsa terkorban dijangka terus meningkat. Angka kematian dijangka meningkat dan operasi mencari masih diteruskan,” katanya kepada AFP.

Ali berkata, kebakaran mungkin berpunca daripada tong gas, sebelum ia merebak dengan pantas ke seluruh bangunan, termasuk ke kawasan penyimpanan bahan kimia. Katanya, api kemudiannya terus merebak di empat bangunan berhampiran, yang turut dijadikan gudang menyimpan bahan kimia. Keadaan lalu lintas sedang sesak ketika kebakaran berlaku.

β€œIa merebak dengan sangat pantas menyebabkan orang ramai gagal menyelamatkan diri,” katanya ketika mengulas keadaan di lokasi kejadian, yang dikelilingi jalan yang sempit, manakala jarak antara bangunan adalah terlalu hampir.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Ibrahim Khan, berkata sekurang-kurangnya, dua kereta dan 10 beca turut musnah terbakar. Mangsa termasuk pejalan kaki, beberapa individu yang sedang makan di restoran berhampiran serta orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan,” katanya.

Sumber : BH Online, AFP


Leave a Reply