M-Update,21/2/2019, WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata semalam, walaupun beliau berharap sidang kemuncak kedua dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mencapai banyak perkembangan, beliau tidak terburu-buru untuk meraih hasilnya.
“Paling utama, saya mahu melihat Korea Utara menamatkan program nuklearnya,” katanya kepada pemberita, seminggu menjelang sidang kemuncak yang bakal berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 27 hingga 28 Februari ini.
“Saya rasa Korea Utara dan Pengerusi Jong-un bakal membentangkan beberapa perkara yang sangat positif dan kita akan tahu tidak lama lagi. Apapun saya tidak terburu-buru,” katanya sambil menambah sekatan masih diteruskan.
Pada sidang kemuncak bersejarah di Singapura tahun lalu, pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara itu menghasilkan satu dokumen yang ‘tidak jelas’ di mana Kim berjanji untuk berusaha ke arah penamatan program nuklear di semenanjung Korea.
Bagaimanapun, kemajuan proses itu terhenti apabila kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan apa sebenarnya yang dimaksudkan.
Sementara itu, kenyataan Jabatan Negara berkata, Wakil Khas AS untuk Korea Utara, Stephen Biegun sudah ke Hanoi sebagai persiapan menjelang sidang kemuncak itu. – AFP