M Update, 1/3/2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewujudkan kerjasama bagi memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam e-Braille untuk dimanfaatkan kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan bagi memahami dan menguasai al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, e-Braille adalah sebuah mesin taip braille elektronik berteknologi tinggi yang mula dibina oleh universiti itu sejak 2009 dan ia berjaya dihasilkan pada 2016 dengan kos RM17,000 sebuah.
“Dengan kejayaan memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam e-Braille ini nanti akan dimanfaatkan oleh OKU penglihatan untuk memahami dan menguasai al-Quran.
“e-Braille boleh diakses dengan mudah di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Kuala Lumpur, PERTIS Cawangan Terengganu dan Sekolah OKU Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kitab Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang dimasukkan ke dalam e-Braille dapat membantu generasi OKU penglihatan Muslim untuk menguasai ilmu tafsir al-Quran dengan lebih cepat dan tepat. Katanya, usaha ini jelas membuktikan kerajaan prihatin dalam usaha menyantuni ummah khususnya membabitkan golongan kurang upaya.
Saya berharap e-Braille ini menjadi satu medium pendidikan berterusan kepada OKU penglihatan. Kita juga begitu komited untuk mencari dana bagi mengurangkan kos e-Braille sehingga ia dapat dimanfaatkan secara lebih meluas kepada OKU penglihatan di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, Mujahid berkata, JAKIM melancarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran Versi Mandarin diterbitkan oleh jabatan itu bagi membantu masyarakat, khususnya komuniti Cina yang berhasrat untuk memahami al-Quran sama ada Muslim atau bukan Islam.
Katanya, usaha dan inisiatif itu dilakukan oleh JAKIM sejak 2007 dan antara kelebihannya ialah penggunaan bahasa mudah berbanding kitab tafsir diedarkan oleh Arab Saudi yang menggunakan terjemahan perkara serta agak sukar difahami. Penggunaan Tafsir Pimpinan Rahman mudah difahami oleh pelbagai peringkat usia sama ada yang masih baru atau sudah lama memeluk Islam.
“Usaha yang dijalankan bagi memudahkan umat Islam memahami dan menghayati al-Quran dalam pelbagai bahasa adalah amat penting sebagai satu medan dakwah yang sentiasa perlu diterokai pada hari ini.
Mengulas lanjut, beliau difahamkan projek penerbitan al-Quran ini juga mendapat sokongan kuat hasil kerjasama strategik JAKIM dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina Muslim.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan misi dakwah selama ini harus dipuji. Saya berharap kerjasama ini terus subur dan membuahkan manfaat lebih besar untuk masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.