M Update, 13/3/2019 – Parlimen Korea Selatan meluluskan rang undang-undang mencegah pencemaran udara yang mula menyelubungi sebahagian besar ruang udara negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
Badan perundangan negara itu turut menggariskan ia sebagai ‘masalah sosial’.
Pencemaran udara di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya penjanaan kuasa arang batu dan pelepasan asap kenderaan yang tinggi, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Keadaan itu juga menguatkan pertimbangan Presiden Moon Jae-in untuk meluluskan udang-undang itu.
Keputusan parlimen yang memutuskan isu itu sebagai ‘bencana’ membenarkan kerajaan untuk menggunakan sebahagian daripada rizab simpanan negara untuk menangani segera sebarang kerosakan atau kecemasan disebabkan pencemaran udara.
Rang undang-undang lain yang turut diluluskan adalah kebenaran untuk memastikan setiap bilik darjah di sekolah dibekalkan dengan alat penapis udara dan menurunkan had penjualan kenderaan yang menggunakan gas cecair petroleum (LPG), yang kurang membebaskan asap berbanding gas dan diesel. – Reuters
Sumber : Berita Harian