M-Update,18/3/2019, PARIS: Beberapa perjalanan kereta api Eurostar dari Paris ke London terpaksa dibatalkan dan ada yang tergendala untuk satu tempoh panjang hari ini berikutan mogok oleh pegawai kastam. Tindakan itu dibuat bagi menuntut kenaikan gaji dan suasana bekerja lebih baik selain cuba menunjukkan apa yang mungkin berlaku apabila kawalan sempadan dilaksanakan sepenuhnya sebaik sahaja Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Eurostar dalam laman web mereka mengumumkan bahawa perkhidmatan kereta api Paris – London berdepan kelewatan dan menasihatkan pengguna untuk tidak melakukan perjalanan hari ini.Empat perkhidmatan dibatalkan menjelang waktu makan tengahari Ahad manakala tiga dan satu masing-masing dibatalkan untuk Isnin serta Selasa. Mogok pada hari ini adalah siri terbaru tindakan yang diambil pegawai kastam Perancis.
Ia bermula awal bulan ini di pelabuhan Dunkirk di Channel dan Calais, utara Perancis, menyebabkan barisan trak yang menunggu untuk memasuki Britain menjadi terlalu panjang.Pekerja kastam berkenaan mendesak kenaikan gaji dan pertambahan petugas bagi menangani lambakan penduduk Britain yang tidak lagi memiliki pasport Eropah apabila negara itu meninggalkan EU.
Pelaksanaan Brexit dijadualkan berlaku pada 29 Mac namun berkemungkinan besar akan ditangguhkan kerana parlimen Britain masih belum bersetuju dengan perancangan berkenaan. – AFP