M Update, 21/3/2019 – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Pakistan, kilang pertama PROTON di kawasan Asia Selatan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim, berkata perjanjian antara PROTON dan rakan perniagaan dari Pakistan Alhaj Automotive, dibuat tahun lalu, dengan PROTON mengunjurkan potensi yang besar untuk syarikat itu.
Dari segi potensi pasaran kenderaan di Pakistan, PROTON rasakan potensinya amat besar. Itulah sebabnya PROTON setuju bekerjasama dengan Alhaj Automotive untuk membina kilang pemasangan berhampiran Karachi di wilayah Sindh.
Ia penting kerana ini akan menjadi kilang pertama PROTON di Asia Selatan berdasarkan jumlah penduduk di negara ini saja sudah 210 juta.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan, dijangka menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang Proton itu pada Jumaat 22 Mac 2019.
Dr Mahathir akan mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan selama tiga hari bermula hari ini.
Pembinaan kilang itu adalah elemen penting dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara memandangkan Proton adalah ilham Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri buat pertama kali sebelum ini.
Pakistan adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
Pakistan adalah negara destinasi terbesar eksport Malaysia di Asia Selatan dan ketiga terbesar bagi destinasi import Malaysia.
Sumber : Berita Harian