M Update, 03/04/2019 – Thailand akan menyediakan topeng muka untuk kemudahan peserta sidang kemuncak menteri kewangan dan bank pusat serantau mulai esok, berikutan paras kualiti udara di Chiang Rai, berada pada tahap membimbangkan.
Chiang Rai akan menjadi tuan rumah mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Bank Pusat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang berlangsung selama dua hari mulai esok.
Menurut data yang dikeluarkan kerajaan, ketika ini, indeks kualiti udara di bandar itu dilaporkan sudah mencecah paras tidak sihat, iaitu 240 hingga 250.
“Topeng muka akan disediakan,” kata pegawai kanan Kementerian Kewangan, Nadhavudh Dhamasiri kepada Reuters.
Dalam pada itu, kira-kira 300 pegawai dijangka menghadiri mesyuarat berkenaan dan ada di antara mereka sudah tiba di Chiang Rai.
“Keadaan semakin bertambah baik dan setakat ini tidak menjejaskan jadual mesyuarat.
“Justeru, tiada cadangan untuk memindahkan lokasi atau jadual mesyuarat,” kata Nadhavudh. – Reuters