Input your search keywords and press Enter.

Minyak Masak Ganti Minyak Hitam Kereta?

M Update, 7/4/2019 – Bolehkah minyak masak digunakan sebagai alternatif kepada minyak pelincir atau minyak hitam kenderaan anda?

Jika anda masih ragu-ragu, seorang lelaki dipercayai dari negeri ini telah berjaya membuktikannya. Malah dia dikatakan telah lama menggunakan minyak masak kelapa sawit itu bagi menggantikan minyak hitam kenderaan tanpa sebarang masalah.

Namun sebelum ini pun sudah ramai golongan ‘berani’ menggunakan minyak masak berasaskan kelapa sawit itu sebagai alternatif kepada minyak hitam yang harganya mencecah ratusan ringgit.

Dalam satu klip video pendek berdurasi seminit 30 saat itu yang tular di laman-laman sosial, dia kelihatan sedang mengisi satu jenama minyak masak ke dalam enjin kereta miliknya. Melalui perbualan dengan seorang lagi lelaki, dia menyatakan telah menggunakan keretanya itu untuk berulang-alik antara Alor Setar ke Baling serta ke lokasi lain.

“Lama dah pakai (guna) tak pernah ada masalah. Daripada ampa (kamu) dok pakai minyak yang beratus-beratus (ringgit) tu buat apa,” katanya.

Pada akhir video tersebut, lelaki tersebut turut menghidupkan enjin keretanya tanpa sebarang masalah, sekali gus menyarankan rakannya itu agar turut cuba menggunakan minyak kelapa sawit sebagai pengganti minyak untuk kenderaan. Sementara itu menerusi laman web kereta.info, seorang bekas jurutera sebuah syarikat di Jepun, Hisyam Abdullah berkata, minyak masak merupakan minyak paling sintetik tetapi tidak ramai yang mengetahuinya.

“Saya menggunakan minyak masak sebagai pelincir untuk enjin kereta Proton Iswara. Selepas lebih setahun menggunakannya, saya dapati tiada kesan negatif atau kerosakan berlaku pada kereta,” katanya.

Mungkin sekarang sudah tiba masanya kajian terhadap minyak kelapa sawit untuk digunakan pada kenderaan dilakukan sebagai langkah alternatif menggantikan pelincir yang mahal dan tidak mesra alam. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply