M Update, 9/4/2019 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima mengadap dan mengurniakan surat cara pelantikan 10 hakim Mahkamah Tinggi di Istana Negara, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara kepada Datuk Rozana Ali Yusoff yang mengetuai senarai penerima hari ini. Diikuti sembilan hakim yang lain iaitu Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, Abu Bakar Katar, Hayatul Akmal Abdul Aziz, Wong Chee Lin, Darryl Goon Siew Chye, Ismail Brahim, Dean Wayne Daly dan Celestina Stuel Galid.
Turut menyaksikan istiadat pelantikan itu ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia Datuk Seri Ahmad Maarop.
Pelantikan kesemua hakim berkenaan berkuat kuasa hari ini. – Bernama