Input your search keywords and press Enter.

‘Avengers: End Game’ Diramal Catat Kutipan Pecah Panggung

M Update, 24/04/2019 – Selepas hampir 24 filem dan bilion dolar kutipan tiket di seluruh dunia, filem Avengers kini menghampiri tempoh penghujungnya dan pengembaraan terakhir mungkin memecahkan kesemua rekod pemecah panggung sebelum ini.

‘Avengers: Endgame’ adalah siri terakhir filem bercita-cita tinggi ke-22, memaparkan adi wira kegemaran Marvel, kebanyakannya dicetuskan daripada buku komik mendiang penulis lagenda, Stan Lee.

Ia bakal ditayangkan di pawagam minggu ini, dengan sebahagian Asia dan Eropah mendapat tayangan pertama filem tiga jam itu hari ini dan tayangan meluas di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, pada Jumaat.

Pakar meramalkan tayangan hujung minggu yang mungkin memecah rekod dengan pembukaan pertama AS$1 bilion (RM4.13 bilion) dalam sejarah.

Ia dengan mudah mengalahkan pemegang rekod sebelumnya, ‘Avengers: Infinity War,’ bahagian pertama ‘Infinity Saga’ seperti mana gelaran Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, yang menghasilkan setiap satu filem dalam francais itu, dibuka pada 2018 dengan perolehan AS$640.5 juta (RM2.65 bilion).

Selepas tayangan dunia dihadiri bintang ternama di Hollywood semalam, enam watak asal Avengers meraikan tamatnya jelajah mereka di TCL Chinese Theatre ikonik.

Iron Man (Robert Downey Jr.), Captain America (Chris Evans), Thor (Chris Hemsworth), Black Widow (Scarlett Johansson), the Hulk (Mark Ruffalo) dan Hawkeye (Jeremy Renner) berkumpul buat kali terakhir dengan Feige di TCL Chinese Theatre, di mana mereka menekap tapak tangan pada blok simen.


(Dari kiri ke kanan) Aktor Chris Hemsworth, Chris Evans, Robert Downey Jr. dan Scarlett Johansson menekap tangan pada blok simen di TCL Chinese Theatre IMAX Forecourt semalam. -Foto AFP

“Ia adalah perjalanan mengagumkan,” kata Ruffalo yang mencuba dirian tangan ketika menunggu simen mengeras, mengenai projek 10 tahun itu.

Filem sebelumnya, sebanyak 21, memperoleh kira-kira AS$19 bilion (RM78.52 bilion) di peringkat global dan walaupun ‘Endgame’ menandakan berakhirnya siri Avengers, Marvel Studios bagaimanapun belum berhenti.

Walaupun ia mengakhiri apa yang digelar Johansson sebagai pengalaman ‘menarik,’ Marvel Studios sudah mengumumkan beberapa projek baharu, sebagai tambahan kepada sekuel untuk ‘Spider-Man,’ ‘Black Panther’ dan ‘Doctor Strange’, akan ada juga ‘Guardians of the Galaxy Vol. 3,’ ‘The Eternals’ dan ‘Black Widow,’ filem Marvel kedua menaikkan watak solo wanita.

“Perkara menarik mengenai penamat ialah ia memberi anda permulaan baharu. Justeru, ya, akan ada permulaan baharu, namun ketika ini, ia adalah mengenai kombinasi 22 filem. Itu yang paling mengujakan kami,” kata Feige.

Sebagai persediaan untuk penamat sinematik mengagumkan, pengarah ‘Endgame’, Joe dan Anthony Russo menulis di Twitter kepada ‘peminat terhebat di dunia.’

“Inilah dia. Inilah pengakhirannya. Berakhirnya satu penceritaan tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang 11 tahun dan 11 francais,” katanya.

Mereka mengakui impak mega siri Avengers terhadap peminat, mengatakan ‘ini semua adalah untuk anda yang mengikuti perjalanan ini bersama kami sejak mula.’

Peminat tidak sabar mengetahui kesimpulan cerita dan pelakon menutup mulut rapat ketika jelajah media, bimbang ia bocor.

Namun ada peminat yang tidak sabar mendedahkan rakaman lima minit ‘Endgame’ mengandungi plot penting siri finale itu di internet, menyebabkan adik beradik Russo menulis surat.

Mereka merumuskan mesej dengan rayuan supaya tidak menjejaskan pengakhiran filem berkenaan.

“Ingat, Thanos masih menuntut anda diam. #DontSpoilTheEndgame,” katanya. -AFP

Leave a Reply