M Update, 30/5/2019 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan membuka talian aplikasi WhatsApp untuk orang ramai melaporkan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa, berkata langkah itu diambil supaya pihaknya dapat mengambil tindakan segera terhadap mereka yang melanggar kesalahan. Katanya, penggunaan aplikasi WhatsApp ini adalah yang pertama kali diperkenalkan sempena musim perayaan tahun ini dan tidak tolak kemungkinan akan diteruskan musim perayaan akan datang.
“Pengguna boleh hantar maklumat menerusi WhatsApp di nombor 0134498997 dan petugas JPJ bersedia 24 jam memantau setiap laporan yang diterima untuk tindakan lanjut. Setiap laporan perlu disertakan dengan kad pengenalan pengadu dan lokasi kesalahan bersama gambar kesalahan pengguna yang dilaporkan.
Kita yakin dengan kaedah ini, dapat mengelakkan lebih ramai pengguna melanggar peraturan jalan raya,” katanya selepas melancarkan Ops Raya 2019 Peringkat Negeri Kelantan, di Stesen Sekatan JPJ Mentara, dekat sini, semalam. Pada pelancaran itu JPJ turut mengagihkan 200 cenderahati kepada pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung.
Mengulas lanjut, pihaknya turut membuka talian bilik kawalan 24 jam di Pejabat JPJ Kota Bharu untuk menerima aduan daripada pengguna jalan raya. Talian 097666166 itu mula dibuka pada 20 Mei hingga 13 Jun untuk memudahkan pengguna membuat laporan. Kita juga mempunyai peronda bermotosikal yang dilengkapi kamera yang dipasang di topi keledar ketika melakukan rondaan di lokasi tertentu di negeri ini sepanjang musim perayaan,” katanya. – BH Online