M Update, 18/6/2019 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sering menyebarkan pelbagai berita palsu termasuk dakwaan wujud sindiket menculik kanak-kanak untuk penjualan organ yang tersebar baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya mendapati berita palsu mengenai perkara itu sering ditularkan semula walaupun pihak berkuasa kerap menafikannya.
“Kita memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang sering menularkan berita palsu mengenai dakwaan terdapat sindiket menculik kanak-kanak untuk penjualan organ. Walaupun PDRM sudah beberapa kali membuat kenyataan tidak wujud kegiatan seperti itu di negara ini, namun berita sedemikian masih lagi ditularkan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru, Mazlan berkata, orang ramai dinasihat tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat palsu yang tidak dapat disahkan kesahihannya kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang. Mana-mana individu dikesan menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Ini kerana tindakan itu bukan saja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan ketenteraman awan dan membangkitkan keresahan masyarakat,” katanya. Masyarakat harus maklum pemindahan organ hanya boleh dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dan bukan sembarangan orang. Pemindahan organ hanya boleh dilakukan mengikut prosedur pembedahan ditetapkan dan tidak boleh dibuat sembarangan, terutama dengan ‘pemandu van putih’ yang sering dikaitkan dengan kegiatan ‘penculikan’ kanak-kanak berkenaan,” katanya. – BH Online