M Update, 24/6/2019 – Satu akta baharu akan diwujudkan bagi memansuh dan menggantikan beberapa akta berkaitan pendidikan tinggi negara, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menjelaskan, usaha itu antara lain bertujuan mengadakan satu struktur tadbir urus dan pembiayaan baharu yang lebih efisien serta mapan dalam usaha meraikan kebebasan akademik dan autonomi di universiti. Katanya, satu mesyuarat membincangkan kerangka dasar kebebasan akademik dan autonomi di universiti, diadakan kelmarin dengan dipengerusikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir; dan pakar bebas. Pada pertemuan itu, dimaklumkan mengenai dapatan hasil kajian dikendalikan oleh penyelidik bebas dalam kalangan ahli akademik.
Antara tindakan akan diberi perhatian selepas ini ialah mengadakan satu akta pendidikan tinggi baharu bagi memansuh dan menggantikan AUKU, Akta 555 serta akta membabitkan institusi pendidikan tinggi yang bersifat akademik,” menurut kenyataan itu.
Katanya, pemansuhan beberapa akta pendidikan tinggi itu selari janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membawa semula kewibawaan universiti tempatan ke persada lebih tinggi. – BH Online