M Update, 26/6/2019 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 5,255 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider ke India yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Khamis lepas, membabitkan penahanan dua warga India.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata anak kura-kura bernilai RM52,550 itu diletakkan di dalam 32 bakul kecil di dalam bagasi milik kedua-dua suspek dengan sebahagian daripadanya didapati sudah mati. Menurutnya, dua lelaki warga India itu tiba dari Guangzhou, China ketika ditahan bersama-sama kotak yang mengandungi anak kura-kura tersebut.
Kita percaya anak kura-kura itu bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya klia2 hanya transit sebelum bahan larangan itu dibawa ke India,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Kastam KLIA Abdul Wahabi Abdullah.
Kedua-dua suspek berumur 30 dan 42 tahun itu kini direman selama 14 hari, manakala kura-kura yang masih hidup akan dihantar ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut, katanya.