M Update, 11/07/2019 – Pengambilan minuman bergula seperti soda dan jus buah dikaitkan dengan risiko tinggi mendapat penyakit kanser tertentu, penyelidik melaporkan hari ini.
Ledakan pengambilan minuman bergula semakin berleluasa di seluruh dunia sejak beberapa dekad lalu dan minuman berkalori tinggi sudah dikaitkan dengan risiko meningkat obesiti, yang sendirinya diiktiraf sebagai faktor utama risiko kanser.
Sepasukan penyelidik di Perancis mahu menilai kaitan antara pengambilan tinggi minuman bergula dan risiko keseluruhan kanser, serta beberapa jenis kanser termasuk payudara, prostat dan usus.
Mereka melakukan tinjauan terhadap lebih 100,000 dewasa dengan purata usia 42 tahun, 79 peratus daripadanya wanita.
Peserta, yang diikuti perkembangan maksimum selama sembilan tahun, melengkapkan sekurang-kurangnya dua soal jawab diet disahkan dalam talian 24 jam, mengira pengambilan harian gula dan minuman gula tiruan serta 100 peratus jus buah.
Penyelidik mengukur pengambilan harian minuman bergula untuk minuman diet dan membandingkannya dengan kes kanser dalam rekod perubatan peserta ketika tempoh pemeriksaan susulan.
Mereka mendapati, peningkatan hanya 100 mililiter (ml) minuman bergula sehari dikaitkan dengan 18 peratus peningkatan risiko kanser serta 22 peratus peningkatan kanser payudara.
Kedua-dua minuman bergula dan jus buah menyaksikan kaitan tinggi risiko sama.
Ketika pemeriksaan susulan, penyelidik mendapati, 2,193 kes kanser didiagnos, purata usia diagnosis adalah 59 tahun.
Penulis kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ, menegaskan, tugas mereka adalah berdasarkan pemerhatian semata-mata dan tidak dapat mewujudkan punca prognosis kanser.
“Kajian besar-besaran secara teliti menambah kepada bukti sedia ada bahawa pengambilan minuman bergula mungkin dikaitkan dengan risiko meningkat sesetengah kanser,” kata pakar statistik kanan Cancer Research UK, Graham Wheeler mengenai kajian itu. -AFP