Input your search keywords and press Enter.

Hukuman Kembiri Kimia

M Update, 28/08/2019 – Seorang perogol yang merogol sembilan budak perempuan bakal menjadi pesalah pertama di Indonesia menjalani hukuman kembiri kimia.

Tribun melaporkan, Muh Aris Syukur, 20, diarahkan menjalani hukuman itu oleh mahkamah Jawa Timur, selain penjara 12 tahun dan denda 100 juta rupiah (RM29,500).

Aris didapati bersalah merogol ke atas sembilan budak perempuan antara 2015 hingga 2018 di Mojokerto tetapi tidak ditangkap sehinggalah tahun lalu, lapor Coconuts Jakarta.

Menurut Tribun, ada antara mangsanya berusia tadika yang dirogol di sebuah rumah kosong selepas melihat kanak-kanak berkenaan bermain ketika dia pulang dari kerja.

Surya.co.id memetiknya berkata: “Saya sebenarnya sukakan wanita dewasa tetapi tiada yang mahukan saya. Akhirnya saya mencuba kanak-kanak untuk melepaskan nafsu.”

Dia dilaporkan berkata, lebih rela dihukum mati daripada kembiri kimia.

Walaupun dipersetujui Presiden Joko Widodo, belum ada cara kembiri kimia dibuat di negara itu. Susulan itu, tarikh pelaksanaan hukuman belum dapat ditetapkan.

Hukuman kembiri kimia juga mendapat halangan dari industri perubatan di Indonesia yang menganggap kembiri kimia bertentangan dengan etika mereka.

Persatuan Doktor Indonesia (IDI) berkata, doktor tidak akan menjalankan prosedur berkenaan kerana ia melanggar edaran 2016 oleh Majlis Kehormatan Etika Kedoktoran (MKEK).

“Berdasarkan bukti saintifik, kembiri kimia tidak menghalang keinginan pelaku untuk melakukan keganasan seksual,” kata pengerusi IDI, Ilham, Oetama Marsis dalam kenyataan rasmi pada 2016.

Kembiri kimia pernah digunakan di beberapa negara dengan cara menyuntik pesalah menggunakan ubat ‘anaphrodisiac’ untuk menurunkan nafsu seksual dan libido.

Rawatan itu bertahan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun dan beberapa negara Scandinavia yang mempraktikkan prosedur itu membuktikan kadar keganasan seksual ke atas kanak-kanak menurun daripada 40 peratus kepada lima peratus, lapor The Sun.

Leave a Reply