M Update, 13/9/2019 – Polis menerima satu laporan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Twitter semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
“Pihak polis telah terima satu laporan polis berhubung kes berkenaan. Siasatan kes itu dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Bukit Aman,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Awal pagi semalam, netizen menzahirkan rasa terkejut selepas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyahaktifkan akaun Twitter baginda. Tidak dapat dipastikan mengapa Raja Permaisuri Agong bertindak menutup akaun Twitternya namun beberapa individu dikenal pasti antaranya Firdaus Asraf menjadi penyebab Tuanku berbuat demikian.
Tindakan pengguna Twitter itu turut mendapat respon bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Musa menegaskan, tindakan tegas perlu diambil polis termasuk menahan individu terbabit di bawah Akta Hasutan bagi mengelakkan golongan ‘kurang ajar’ ini terus ‘naik lemak’.
Malah netizen turut menggerakkan kempen #AmpunTuanku sambil mengharapkan baginda mengaktifkan semula akaun Twitternya.
Selepas dikecam, Firdaus Asraf melalui akaun Twitternya, @frdsasrf membuat permohonan maaf sambil menjelaskan dirinya sebagai derhaka.