M Update, 27/09/2019 – Seorang pelajar sekolah menengah terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dicampak dari tingkat empat bangunan sekolah oleh sekumpulan pelajar yang membulinya di Guangxi, China hingga menjadi tular sejak Isnin minggu lalu.
Asia One melaporkan, tindakan kejam terhadap mangsa dikenali sebagai Wei itu menyebabkan organnya pecah serta mengalami retak tulang di beberapa bahagian badan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan terdapat sekumpulan pelajar berada di kawasan koridor ketika waktu rehat sebelum kelihatan seorang pelajar mengangkat mangsa dan mencampaknya ke bawah.
Ia menyebabkan pelajar lain yang melihat kejadian itu tergamam namun pelakunya dengan selamba beredar dari situ dan berjalan ke kelasnya selepas melihat mangsa jatuh.
Pelajar yang dikenali sebagai Huang itu kemudian ditahan polis untuk disoal siasat.
Sementara itu, adik perempuan mangsa yang menulis di laman blog berkata, Wei mengalami pendarahan yang teruk dan dilaporkan masih kritikal di hospital.
Bagaimanapun ibu Huang pula mendakwa, anaknya sering dibuli di sekolah oleh sekumpulan pelajar termasuk Wei.
Katanya, walaupun mempunyai fizikal yang tinggi namun mereka tetap mengejarnya secara beramai-ramai ketika sesi persekolahan dan waktu cuti.
Huang dikatakan pernah mengadu masalah itu kepada beberapa orang guru namun mereka didakwa terlalu takut untuk bertindak ke atas pelajar berkenaan.
Segelintir netizen menunjukkan rasa simpati terhadap Huang yang dianggap sebagai mangsa sebenar sebelum bapa Wei tampil mempertahankan anaknya.
Sehingga kini polis dilaporkan masih lagi menyiasat punca kejadian terbabit.