M Update, 07/10/2019 – Seorang wanita bertindak kejam mencampak cucu perempuan berusia dua tahun dari tingkat enam flat di Malad, di sini, dengan alasan mahu ‘memberi pengajaran’ kepada menantunya kerana sering bertengkar dengannya.
Dalam kejadian minggu lalu, wanita 50 tahun itu mengangkat cucunya yang sedang tidur dan mencampaknya keluar dari tingkap flet.
Pagi semalam, jiran dikejutkan dengan tangisan dan ratapan ibu bapa mangsa yang ketika itu menyangka budak berkenaan terjatuh sendiri.
Namun, polis mengesyaki ia perbuatan jenayah kerana ibu tiri bapa mangsa itu, gagal memberi jawapan konsisten dalam keterangannya dan selepas didesak ketika soal siasat, wanita itu mengaku mencampak mangsa.
Siasatan polis mendapati tingkap dan pintu rumah keluarga mangsa tutup pada pagi kejadian.
“Suspek adalah ibu tiri kepada bapa mangsa dan dia kerap mengubah kenyataannya.
“Dia juga cuba mengelak daripada ditanya dan selepas didesak, wanita itu mengaku mencampak mangsa dari tingkap kerana marah dengan menantunya,” katanya.
Menurut India Today, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan polis menahan neneknya, Ruksana Obedulla Ansari.
Menurut polis, wanita itu memberi alasan berbuat demikian kerana mahu memberi pengajaran kepada menantu perempuannya yang sering bertengkar dengannya.
Jurucakap polis, Kurar berkata, suspek mencampak mangsa ketika ibu bapa kanak-kanak itu dan anggota keluarga lain tidur.
“Selepas mencampak mangsa, wanita itu kembali tidur. Ruksana mengaku selalu bergaduh dengan menantunya,” katanya.