M Update, 10/12/2019 – Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan penggunaan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.
Beliau berkata keadaan di perairan Sabah misalnya, yang pernah berlaku kejadian culik dan jenayah sempadan, ia memerlukan satu tindakan pengawasan yang lebih efisyen dan penuh siap siaga.
“Di perairan Sabah (misalnya), senpadan dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) terlalu panjang, lebih 1,000km. Kita boleh gunakan dron di kawasan sempadan, ini sedang kita fikirkan,” katanya dalam program majlis ramah mesra bersama warga Malaysia di Indonesia, di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.
Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula hari ini, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik dengan Indonesia berkaitan isu-isu berkepentingan bersama kedua- dua negara. – Bernama