M Update, 11/12/2019 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini dalam lawatan khas di United Kingdom (UK), berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama kira-kira 300 rakyat Malaysia, semalam.
Seri Paduka berdua turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan hadirin. Pada majlis berlangsung selama tiga jam itu, Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda, menzahirkan harapan supaya hubungan dua hala antara Malaysia dengan UK terus berkembang maju pada masa depan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, hubungan kedua-dua negara selama ini berjalan dengan baik, antaranya kerana wujud persamaan dalam sistem pentadbiran yang bertunjangkan sistem Raja Berperlembagaan.
“Beta juga difahamkan bahawa Malaysia di kedudukan nombor dua sebagai rakan dagang terbaik United Kingdom dalam kalangan negara ASEAN dan UK adalah rakan dagang keempat terbaik dalam kalangan negara Eropah bagi negara kita.
“Kita perlu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala ini yang sudah terjalin sejak sekian lama,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia di UK supaya menjadi warga yang baik dan sentiasa menjaga nama baik negara. Ada kira-kira 75,000 rakyat Malaysia menetap dan bekerja di UK, termasuk 19,000 penuntut yang mengikuti pengajian di universiti tempatan.
Yang turut hadir pada majlis santapan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Mohamad Sadik Kethergany.
Dalam lawatan khas itu, Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, esok.
Lawatan khas ke UK adalah lawatan keempat oleh Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lalu sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari. – BERNAMA