M Update, 20/12/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Pulau Pinang untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari bermula hari ini.
Pesawat khas yang membawa pasangan diraja itu dan pegawai kanan Istana Negara mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dekat sini pada 10 pagi.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.
Ini merupakan lawatan sulung baginda berdua ke Pulau Pinang setelah Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat menyempurnakan perasmian Masjid Al Bukhary, Lebuh Sungai Pinang 1, di sini pada 12 tengah hari dan turut berkenan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Baginda juga berkenan berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary.
Sementara itu, dalam acara berasingan, Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang pada 1.30 tengah hari di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini dan diikuti dengan majlis ramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di lokasi sama.
Pada sebelah malam pula, baginda berdua dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat berbilang kaum di The TOP, Komtar di sini.
Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan Seri Paduka berdua juga termasuk menghadiri majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang di Batu Gantung, di sini pada keesokan hari dan diikuti dengan santapan tengah hari di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, di sini.
Pada sebelah petang, pasangan diraja itu dijangka berangkat melawat Bukit Bendera dengan menggunakan perkhidmatan funikular dan turut berkenan melawat The Habitat Bukit Bendera.
Pada sebelah malam pula, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini.
Pada hari Ahad, hari terakhir lawatan kerja itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Zakat Negeri Pulau Pinang pada 10 pagi.
Seri Paduka berdua kemudiannya dijangka berangkat pulang ke Kuantan, Pahang pada 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dekat sini.
Sumber : Bernama