M Update, 27/12/2019 – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar sikap tidak amanah seorang pekerja sebuah syarikat kurier di Triang semalam, apabila dia dirakam mengambil barangan milik pelanggan.
Melalui rakaman terbabit, lelaki berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai penghantar barang didapati mengambil dua telefon bimbit bernilai RM1,118. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kehilangan barangan itu disedari selepas pelanggan tampil membuat aduan barang yang dikirimkan kepadanya belum sampai kelmarin.
“Berdasarkan aduan itu, penyelia (pengadu) membuat pemeriksaan dan hasil rakaman CCTV mendapati barang atas nama pelanggan itu diambil suspek.
“Berdasarkan keterangan pengadu, kejadian kehilangan barang milik pelanggan turut berlaku 18 Disember lalu. Melalui bukti rakaman CCTV itu, pengadu tampil membuat laporan polis semalam,” katanya.
Beliau berkata, susulan laporan polis itu, suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. – BH Online