M Update, 27/12/2019 – Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi melakar sejarah menjadi satu-satunya penuntut Maktab Turus Tentera Darat Kanada (CACSC) dari luar negara itu yang dimasyhurkan sebagai ahli ‘Hall of Honour’ maktab berkenaan.
Majlis penganugerahan kepada Hasbullah diadakan sempena Majlis Graduasi Penuntut Army Operation Course siri 41 CACSC di Kingston, Kanada pada 5 Dis lepas, atas pencapaian terbaik alumni yang dilantik sebagai pemerintah tertinggi dalam perkhidmatan.
Hasbullah yang memegang jawatan Panglima Tentera Darat sejak September 2018 berkata beliau berbangga kerana telah membawa nama Malaysia serta pasukan untuk memahat satu lagi pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan pencapaian saya seorang sahaja tetapi ia pencapaian Tentera Darat serta negara dan saya berharap semoga jejak langkah saya ini akan dapat diikuti oleh pegawai-pegawai muda di masa hadapan.
“Jika bukan di CACSC… mungkin di kolej pertahanan negara lain pula,” katanya.
Berkongsi pengalaman menyertai kursus selama lapan bulan di CACSC bermula 17 Nov 1992, beliau berkata keadaan cuaca sejuk sehingga -25 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilaluinya ketika itu.
“Ketika itu 63 penuntut mendaftar diri, dan hanya ada tujuh pelajar asing termasuk saya, dan apa yang pasti banyak ilmu dipelajari dalam tempoh itu,” katanya yang ketika itu berpangkat Mejar.
Dalam pada itu, Hasbullah mahu setiap warga Tentera Darat berada dalam tahap terbaik untuk melaksanakan amanah menjaga kedaulatan negara.
“Saya menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat berpegang kepada prinsip bahawa kerja merupakan satu ibadah dan sahutlah cabaran supaya menjadi ikon Tentera Darat tanpa mengabaikan tuntutan agama serta nilai-nilai positif,” katanya.
Sumber : BERNAMA