M Update, Pemandu van maut manakala empat pemain badminton termasuk pemain nombor satu dunia, Kento Momota cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 13.7, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), di sini, jam 4.57 pagi tadi.
Ketika kejadian, Momota yang baru memenangi Masters Malaysia semalam, menaiki van terbabit bersama dua lagi pemain badminton senegara dan seorang pemain England.
Mereka ialah Wiliam Thomas (England), pemain badminton wanita, Hirayama Yu dan Marimoto Arkifuki, kedua-duanya dari Jepun.
“Kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Lebuhraya Mex menghala ke Putrajaya. Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” kata jurucakap bomba ketika dihubungi. Difahamkan, pemandu van, seorang lelaki rakyat tempatan tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian, van membawa pemain badminton itu dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang apabila melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan.
Momota merangkul gelaran juara Masters Malaysia selepas menundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen 24-22, 21-11 dalam aksi final di Arena Axiata Bukit Jalil.