M Update, 21/1/2020 – Rutin harian dua sahabat berjalan bersama ke sekolah setiap hari, berakhir dengan tragedi pagi ini, apabila kedua-duanya dilanggar lari oleh sebuah kereta ketika melintas jalan, menyebabkan seorang meninggal dunia dalam di Kilometer 11, Jalan Banting – Dengkil, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut di lokasi kejadian, manakala rakannya, Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang. Beliau berkata, mangsa memakai pakaian seragam sekolah, manakala rakannya memakai pakaian sukan.
“Tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa sedang melintas jalan di lampu hijau untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas ke sekolah.
“Ketika melintas, kedua-dua mangsa dilanggar sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti yang kemudian kemudian melarikan diri dari lokasi nahas,” katanya kepada Berita Harian, di sini, hari inu.
Azman berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya patah tangan kanan. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan rakannya dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Kata Azman, siasatan lanjut dan usaha mengesan saksi bebas masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lau Ung Hee di talian 019-669 9901,” katanya. – BH Online