M Update, 10/2/2020 – Tujuh potret Perdana Menteri Malaysia yang menghiasi dinding bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Terengganu disiapkan hanya dalam tempoh 28 hari.
Mural indah itu sebahagian projek Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkos RM30,000, untuk menjadikan bandar raya itu lebih segar dan menarik pelancong. Ia karya empat pelukis Red Rebel Art Squad dianggotai anak jati Terengganu Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin (Ku Bad), 34, bersama Wan Ansri Nizam Wan Ismail (Obi Wang), 37, Zulkarnain Abd Latif (Joe Janggot), 40, dan Mohd Fahmi Abdullah Sani (Moc), 31.
Raja Badruddin Hakim selaku ketua kumpulan berkata, mereka memulakan projek itu di bangunan berusia 47 tahun terbabit pada 9 Januari lalu dan siap pada 4 Februari lalu.
“Dewan ini antara bangunan paling lama di Terengganu, dirasmikan Perdana Menteri ke-2 iaitu Tun Abdul Razak pada 3 Mei 1973. Mengambil kira nilainya, kerja-kerja menyiapkan potret pemimpin ini dijalankan dengan penuh bertanggungjawab dan hormat,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, mural paling tinggi ialah potret Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang terletak paling tengah dengan ketinggian lebih 10 meter. Manakala, katanya, potret paling mencabar untuk disiapkan adalah wajah Tun Abdul Rahman Putra Al Haj yang mengenakan tengkolok bersongket.
“Keseluruhannya, semua potret ada cabaran tersendiri namun hasilnya memberi kepuasan yang maksimum kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Penolong Jurutera Bahagian Bangunan dan Elektrikal MBKT Mohd Tarmizi Mohd Yusof berkata, idea menghias dewan itu dengan mural tujuh Perdana Menteri ilham Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok.
“Harapan MBKT supaya dengan adanya mural yang menghiasi bangunan itu akan menceriakan lagi suasana bandar raya ini.
Selain itu ia diharap akan menjadi daya tarikan seterusnya merancakkan semula penggunaan dewan tertua itu dengan penganjuran pelbagai program,” katanya. – HM Online