Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Kebersihan Diri, Kesihatan Komuniti dan Keselamatan Negara

Latarbelakang

Penghujung Disember 2019, dunia mula mendengar desas-desus tentang situasi di Wilyah Wuhan, China berkaitan penularan suatu wabak baru yang mengancam kesihatan manusia. Menjelang pertengahan Januari 2020, desas-desus yang sebelum ini kurang di beri perhatian dunia mula bertukar menjadi situasi yang menggemparkan. Kadar penyebaran yang pantas serta kematian pesakit satu persatu dalam tempoh singkat telah mula menimbulkan rasa panik di kalangan masyarakat tempatan di wilayah berkenaan serta seluruh negara China. Keadaan ini bertambah gempar dengan penularan rakaman video di media sosial seluruh dunia dan mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Virus yang dikenali sebagai 2019 n-CoV dan kemudian di rujuk rasmi oleh WHO sebagai COVID-19 telah menyebabkan jutaan orang di seluruh dunia terkesan lansung dengan ancaman jangkitan wabak berkenaan. Ketika artikel ini ditulis, ancaman COVID-19 masih membelenggu ramai orang khususnya di Asia. Di Malaysia, belum reda kegusaran tentang Influenza masih segar dan masyarakat terpaksa berdepan dengan ancaman wabak yang baharu.

            Melihat kepada penularan wabak ini, perkara pertama yang terlintas adalah ancaman yang jelas dan nyata kepada setiap individu tanpa mengira latarbelakang. Walaupun penularan wabak di kesan di wilayah Wuhan China, namun dengan perkembangan kepesatan jalinan pengangkutan, setiap individu yang berada di wilayah berkenaan serta individu lain yang berinteraksi lansung dengan kelompok ini berisiko untuk dijangkiti wabak tersebut. Justeru, melihat konteks individu, ancaman COVID-19 ini sebenarnya mampu memberi kesan kesihatan kepada mana-mana individu. Perkara ini lah yang amat di gusarkan kerana penyebaran wabak ini ibarat mampu berkembang luas kepada sesiapa sahaja.

Dalam mendepani perkara ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap idividu melaksanakan tindakan pencegahan awal iaitu – menjaga kebersihan diri. Kebersihan diri adalah tanggungjawab peribadi. Ini perkara asas yang sewajarnya di fahami dan disusuli tindakannya oleh setiap orang. Perkara-perkara yang mungkin sebelum ini dianggap remeh sebenarnya menjadi benteng pertama setiap individu di dalam mencegah penularan wabak COVID-19. Amalan kerap membasuh tangan, membersihkan diri, memakai topeng muka, memeriksa tahap kesihatan diri dan keluarga dan lain-lain tindakan yang boleh di laksana secara individu tanpa paksaan. Dalam menjaga kebersihan diri ini, ianya termasuk menjaga kebersihan persekitaran hidup baik di rumah mahupun di tempat kerja. Langkah-langkah asas ini adalah kesedaran tentang amalan baik yang wajar ada pada setiap individu. Kebertanggungjawaban terhadap kesihatan diri sendiri amatlah penting di dalam memerangi penularan wabak COVID-19 dan juga apa jua wabak yang lain. Kebertanggungjawaban ini termasuk memastikan sebarang keadaan kesihatan diri yang merundum di dapatkan rawatan di klinik atau hospital agar tindakan pemulihan dan pencegahan dapat dilakukan. Menyembunyikan keadaan kesihatan diri adalah suatu perkara yang tidak bertanggungjawab kerana ia memberi risiko kepada individu lain yang berpotensi memberi ancaman kepada kelompok komuniti yang lebih besar.

            Kesihatan komuniti jika di dihat dari sudut pandang yang lebih luas di Malaysia, adalah keseluruhan individu di dalam negara ini baik warganegara mahupun bukan warga negara. Wabah COVID-19 dan mana-mana wabak tidak melihat kepada latar belakang kewarganegaraan. Justeru apabila satu-satu kelompok manusia yang berinteraksi dengan pesakit yang dijangkiti COVID-19 turut berisiko mengalami jangkitan wabak berkenaan. Di sini lah keadaan di mana secara bersama, seluruh rakyat Malaysia harus bersiaga tentang risiko yang jelas dan nyata ini. Negara kita sebelum-sebelum ini turut terdedah dengan pelbagai wabak penyakit yang memerlukan tindakan dan kerjasama seluruh masyarakat. Jika di lihat kepada wabak Denggi sebagai contoh yang dekat di hati rakyat Malaysia, kebersihan persekitaran memerlukan tanggungjawab kolektif setiap individu di dalam komuniti. Di dalam mendepani COVID-19 juga, seluruh rakyat Malaysia harus memahami tentang risiko berkenaan, kaedah-kaedah pencegahan serta tindakan pemulihan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan.

            Kesihatan komuniti ini merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksana melalui pemahaman, tindakan berdasarkan saranan dari pihak berkuasa serta amalan-amalan penjagaan kesihatan secara bersama. Amatlah penting setiap individu melihat ia mempunyai peranan selaku ahli komuniti baik di peringkat tempat tinggal, tempat kerja, sekolah, rumah ibadat dan kawasan awam lain mempunyai rasa tanggungjawab bersama untuk mencegah penularan wabak. Disiplin komuniti terbentuk dari disiplin individu. Justeru untuk memastikan kesiap siagaan seluruh rakyat Malaysia di dalam mendepani penularan wabak COVID-19 dan mana-mana ancaman kesihatan sekalipun, menuntut kepada tanggungjawab kolektif setiap individu memelihara kesihatan komuniti mereka. Pemahaman dan pematuhan kepada saranan pihak berkuasa perlu dijadikan amalan baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

            Pemeliharaan kesihatan komuniti sebenarnya adalah suatu komponen penting dalam Malaysia berhadapan dengan keadaan penularan wabak. Namun konteks kesihatan semata-mata bukan lah jalan penyelesaian tunggal dalam mendepani ancaman COVID-19. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan baik dari segi kawalan wabak mahupun tindakan bersifat tadbir urus yang lebih menyeluruh di dalam mendapani situasi ini. Impak terhadap penularan wabak COVID-19 tidak hanya berkaitan kesihatan individu dan komuniti, tetapi turut memberi kesan terhadap pemikiran, tindak-tanduk dan kelansungan hidup masyarakat. Kesan ini apabila di lihat secara lebih luas membentuk perlakuan masyarakat dalam negara dalam berhadapan dengan penularan wabak ini. Impak terhadap perlakuan ini memberi kesan lansung kepada negara, apabila masyarakat akan membentuk pendirian, pandangan dan pendapat mereka terhadap situasi yang sedang memberi kesan kepada semua orang.

Penularan maklumat palsu, video dan imej tidak sahih serta komen-komen “pakar serba tahu” di media sosial telah banyak menimbulkan situasi panik dan tindakan luar jangka. Perihal seumpama ini telah membuatkan kegelisahan dalam negara khsusnya ketakutan dan kebimbangan yang tidak berasas hanya kerana percaya kepada maklumat palsu yang tular di media sosial. Dalam hubungan ini, setiap individu di dalam masyarakat harus sentiasa mendisiplinkan diri dengan tidak mudah melatah dengan reaksi terhadap sebarang perkongsian di media sosial yang tidak tentu kesahihannya. Kegelisahan dan kegusaran terhadap maklumat tidak sahih akan hanya menyebabkan risiko keadaan panik berlaku jika ia tidak ditangani dengan pantas. Justeru tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu berkaitan COVID-19 ini bertujuan untuk membentung masyarakat menjadi resah dan gelisah terhadap suatu perkara yang sebenarynya hanya di gembar gembur tanpa asas. Tindakan pihak berwajib ini amat perlu untuk mengelakkan keadaan aman dan terkawal di dalam negara terancam di sebabkan tindakan tidak bertanggungjawab melalui penyebaran berita palsu. Penyebaran berita palsu sama buruk natijahnya dengan penyebaran wabak penyakit.

Kesan dari penluaran wabak COVID-19 ini turut memberi tempias kepada kesejahteraan sosial, ekonomi dan kehidupan seharian masyarakat. Inisiatif-inisaitif yang dijalankan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak terhadap kelansungan hidup masyarakat perlu di fahami dan di sokong agar negara dapat berhadapan dengan keadaan ini dan kembali pulih sesegera mungkin. Kesan terhadap aktiviti pelancongan, ekonomi, pendidikan dan hubungan sosial ini tidak hanya terhadap Malaysia, malahan seluruh dunia turut tepalit dengan natijah ini. Namun sebagaimana ancaman wabak-wabak sebelum ini, dunia akan kembali bangkit dan keadaan kembali pulih. Amat penting pendekatan optimis perlu di terapkan oleh setiap pihak dalam mendepani apa jua situasi sukar. Malaysia pernah di timpa pelbagai ujian, namun rakyatnya sentiasa kembali bangkit dan membuktikan kita adalah negara bangsa yang berjiwa besar dan mampu mendepani apa jua situasi dengan bijak, berhemah dan rasional.

            Secara keseluruhan, Malaysia selaku sebuah negara mendepani ancaman wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan. Seluruh rakyat bergandingbahu dengan memberi sokongan kepada usaha yang di buat oleh pihak berkuasa di dalam mencegah penularan wabak ini. Tanpa tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat, mustahil Kerajaan dapat menangani situasi ini yang sememangnya adalah ancaman yang jelas dan nyata kepada negara. Mekanisme pengurusan penularan wabak yang dilaksanakan oleh Kerajaan diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Namun ianya bukan semata-mata jalan penyelesaian terhadap permasahalan COVID-19.

Ibnu Muhsin

Leave a Reply