M Update, 24/2/2020 – Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan kerajaan terutamanya memastikan Perdana Menteri yang dipilih mendapat sokongan majoriti 222 ahli Dewan Rakyat.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, dalam perkembangan terkini politik negara yang digembar-gemburkan bakal berlaku perubahan, Yang di-Pertuan Agong harus memastikan Perdana Menteri sedia ada masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan.
“Seri Paduka Baginda boleh menentukan kepercayaan tersebut sama ada dengan memanggil kepimpinan sesebuah parti atau memanggil sendiri individu yang bertukar parti.
“Apabila Seri Paduka Baginda yakin sokongan majoriti masih wujud, urusan seterusnya adalah menentukan barisan jemaah menteri atas nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, peranan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Jemaah Menteri termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Pertama, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya. “Namun, Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” katanya.
Katanya. atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.
“Sekiranya calon (Perdana Menteri) yang dicadangkan sebuah parti atau gabungan parti tidak dipersetujui, ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, namun harus dipastikan calon tu ada kepercayaan,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Jemaah Menteri dan seterusnya untuk diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
Menyentuh tentang pilihan raya, Shamrahayu berkata, sekiranya Perdana Menteri meminta Agong membubarkan Dewan dan Seri Paduka Baginda memberi perkenan, maka Dewan boleh dibubarkan.
“Bila Dewan Rakyat bubar, akan berlaku Pilihan Raya Umum. Walaupun begitu, Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memperkenan permintaan pembubaran Dewan Rakyat. Terserah kepada Seri Paduka Baginda,” katanya.
Ditanya apakah proses perundangan seterusnya sekiranya berlaku pertukaran kerajaan, Shamrahayu menjawab, Jemaah Menteri baharu akan mengangkat sumpah dan pada masa sama menteri yang digugurkan tidak lagi mempunyai portfolio. – SH Online