M Update, 27/2/2020 – Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu.
Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) ke Timur Tengah.
“Kerajaan menggantung kemasukan ke negara untuk jemaah mengerjakan umrah dan melawat Masjid Nabi untuk sementara waktu,” katanya.
Kerajaannya turut menggantung kemasukan ke Arab Saudi bagi pemegang visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19.
Menurut laporan Arab News, garis panduan yang dikeluarkan dalam usaha mengekang virus itu juga termasuk menggantung perjalanan ke dan dari Arab Saudi bagi warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menggunakan kad pengenalan kebangsaan.
Dilaporkan hampir 7 juta jemaah mengerjakan umrah di Arab Saudi setiap tahun, dengan majoriti daripada mereka mendarat di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.
Setakat ini, tiada kes positif COVID-19 dilaporkan di Arab Saudi kecuali melibatkan seorang warganya yang ketika ini berada di Kuwait dan ditahan di sana untuk menerima rawatan. – HM Online