M Update, 27/2/2020 – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan orang ramai menjaga tutur kata ketika menyampaikan pandangan dan pendapat di laman sosial berhubung situasi politik negara pada masa ini.
Beliau berkata, semua pihak perlu menjaga perlakuan dan bijak dalam melontarkan pendapat supaya ia tidak melanggar undang-undang negara sekali gus tidak menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.
“Saya dapati perdebatan (situasi politik negara) di dalam media sosial begitu hangat sekali. Saya juga mendapati suhu perdebatan ini semakin meningkat.
“Oleh itu sekali lagi saya ingatkan kepada semua pihak agar menjaga tindakan dan berhujahlah dengan penuh kewarasan agar orang ramai tidak gusar,” katanya.
Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menghormati hak semua pihak meluahkan pandangan dan menjalankan aktiviti politik selagi tidak mengancam keamanan dan ketenteraman negara.
“Di sini, saya memberi amaran terhadap usaha membabitkan elemen luar negara untuk masuk dan menghuru harakan keadaan.
“Cubaan dan perbuatan sebegini pasti akan ditangani dengan sekeras kerasnya kerana ia menepati ciri-ciri pengkhianatan terhadap negara,” katanya.
Beliau menegaskan yang proses pembentukan kerajaan yang baharu masih berjalan dengan aktifnya mengikut Perlembagaan negara.
“Orang ramai perlu bersabar sedikit masa lagi… InsyaAllah PDRM sentiasa bersedia dan memberi jaminan proses ini (pembentukan kerajaan) tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya. – Bernama