M Update, 25/3/2020 – Desakan beberapa pihak supaya senarai nama individu positif jangkitan COVID-19 didedahkan kepada orang awam hanya akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata perkara itu menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini.
“Kita bimbang ada yang tidak memahami situasi pesakit positif COVID-19 yang sudah dirawat dan pulih sepenuhnya. “Nanti apabila mereka (pesakit) pulang ke rumah, disisihkan jiran pula.
“Sekarang kita minta orang ramai salurkan maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Mengenai kesibukan petugas Kementerian Kesihatan, Abdul Hamid berkata, pihaknya sedia mengambil alih tugas kementerian itu untuk menjaga kaunter aduan kes COVID-19.
“Kementerian itu sibuk merawat pesakit, polis ambil tanggungjawab siasat aduan orang ramai. “Kita juga boleh pergi ke rumah pesakit untuk membawa mereka ke hospital bagi menjalani pemeriksaan,” katanya.
Sumber : BH Online