M Update, 7/4/2020 – Penyebaran jangkitan COVID-19 dikesan sudah mula merebak dalam kalangan komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes pertama dikesan di Kuantan membabitkan seorang individu yang mempunyai kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
“Kes di Kuantan, dia tiada sejarah. Dia ada penyakit SARI dan apabila kita saring, dia positif. Apabila kita lihat semula sejarah, beliau hadir ke persidangan di Seri Petaling. Sekarang ada kes SARI pun positif,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, penting ketika ini supaya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkukuhkan lagi bagi mengurangkan penyebaran COVID-19 dalam komuniti. Katanya, keutamaan Kementerian Kesihatan ketika ini adalah untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.
“Kita dalam PKP ini bukan hanya untuk tamatkan jangkitan virus, tapi matlamat utama adalah kurangkan kes. Jadi kita duduk rumah akan dapat kurangkan kes. Kita tidak akan lihat kes meningkat mendadak.
“Dengan itu, hospital dan klinik kita dapat beri rawatan terbaik. Kalau sehari ada 2,000 masuk, kemampuan kita tak cukup. Bila tak cukup, pesakit tidak akan diberikan rawatan yang terbaik,” katanya.
Sumber : BH Online