M Update, 24/4/2020 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memasak sendiri bubur lambuk untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan termasuk mereka yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini sempena Ramadan ini.
Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda, semalam, Sultan Ibrahim bertitah, bubur lambuk berkenaan akan diedarkan kepada pasukan petugas hadapan di negeri ini.
“Hari ini (semalam), saya membuat ‘dry run’ memasak bubur lambuk. “InsyaAllah pada Ramadan ini, kita akan edarkannya kepada pasukan petugas barisan hadapan dan juga mereka yang terbabit dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi di negeri ini.
“Saya sendiri akan memasak bubur lambuk ini. InsyaAllah juga rasanya pasti akan sedap,” titah baginda.
Berangkat sama menyaksikan ‘dry run’ Sultan Johor memasak bubur lambuk adalah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah.
Sultan Ibrahim meluangkan masa selama hampir sejam memasak bubur lambuk di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru. – HM Online