M Update, 15/5/2020 – Setakat ini tiada kelonggaran diberikan kepada individu bujang untuk rentas negeri bagi pulang ke kampung, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menegaskan pengecualian hanya diberikan kepada suami isteri ‘hujung minggu’ sahaja, atas rasa perikemanusiaan melihat mereka tidak dapat bertemu anak lebih dua bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Peraturan rentas negeri ini diteruskan walaupun orang bujang yang rindu ibu bapa kita minta bersabar dulu, insya-Allah setakat hari ini tiada kelonggaran jadi kena patuh kepada peraturan yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam sidang media harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan warganet yang ‘curi-curi’ balik kampung dan dapat memboloskan diri merentas negeri, Ismail Sabri berkata, pihaknya belum menerima maklumat mengenai perkara itu dan polis juga sudah mula melakukan sekatan di plaza tol.
“Mungkin itu hanya satu provokasi saja, jika benar kita boleh ambil tindakan dan mana-mana orang boleh buat laporan jika ada bukti seperti gambar sebagaimana ada orang ambil gambar kerana berjaya melanggar sekatan rentas negeri sebelum ini,” katanya.
Ismail Sabri menegaskan larangan rentas negeri terus berjalan seperti biasa dan hanya empat kelonggaran diberikan sebelum ini.
“Bagi yang mahu rentas negeri perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu,” katanya.