M Update, 21/5/2020 – Kerajaan hari ini memutuskan tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun di sekatan jalan raya.
“Kerajaan juga memutuskan pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Justeru, orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran.
“Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini,” katanya pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, orang ramai masih lagi berdegil apabila cuba melakukan pergerakan merentas negeri. Semalam saja, beliau berkata sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik.
“Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri ini masih tidak berubah walaupun setiap hari kita mengeluarkan nasihat,” katanya. Mereka sanggup beratur di tengah panas dengan alasan untuk mencuba nasib,” katanya
Beliau juga memberi contoh semalam sahaja lebih 1,300 orang ramai beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk meminta kebenaran polis untuk balik ke kampung.
.