M Update, 10/6/2020 – Orang ramai yang merentas negeri mulai hari ini dibenarkan singgah berehat dan menunaikan solat di surau yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing.
Bagaimanapun, pembukaan R&R itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.
Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini, menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi. Sebelum ini, rakyat Malaysia bukan sahaja tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah pelbagai aktiviti tidak dapat dilakukan sebagai usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.
Turut diumumkan, restoran, gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai serbaneka dan runcit, yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam, kini dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam.
Kepada ibu bapa pula, mereka boleh menghilangkan kebosanan anak-anak yang ‘terkurung’ hampir tiga bulan di rumah dengan membawa anak-anak beriadah di Zoo Negara dan zoo-zoo lain kerana premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi.
Namun, dalam keterujaan mengunjungi premis-premis dibenarkan, rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi SOP ditetapkan malah mereka perlu beringat bahawa segala aktiviti dilakukan adalah di bawah pemantauan pihak berkuasa. Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan pemantauan kepada pematuhan SOP di premis perniagaan dan kawasan awam selaras dengan penguatkuasaan PKPP.
Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP. Dalam perkembangan lain, setakat 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatat kes COVID-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara membabitkan kalangan warganegara.
Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu mengulangi pesanan supaya rakyat negara ini sentiasa mematuhi SOP, mengamalkan normal baharu selain menjaga kebersihan diri masing-masing.
Ini sebagai menghargai penat lelah barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus membantu merealisasikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan untuk memastikan negara bebas COVID-19. – BERNAMA