M Update, 16/6/2020 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Papan Pemuka Digital yang telah dibangunkan oleh LAKSANA.
Pelancaran itu diadakan sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan hari ini.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Perdendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengarah LAKSANA, Datuk Shahrul Nazri Datuk Abdul Rahim. Turut hadir pada lawatan itu adalah pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.
Papan Pemuka Digital itu bertujuan untuk memastikan proses pemantauan dan pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA dibuat dengan telus, cepat dan tepat.
Papan Pemuka Digital itu berupaya menghubungkan data daripada 53 kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit dalam pelaksanaan langkah di bawah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020); Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion.
Pendekatan itu membolehkan kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya dalam membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan dan perkhidmatan, serta membuat penghalusan yang perlu bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.
Pengumpulan data secara berpusat dan langsung yang dipaparkan melalui Papan Pemuka Digital itu adalah hasil kerjasama kementerian dan agensi, selaras dengan usaha kerajaan ke arah e-perkhidmatan sebagai persediaan untuk Revolusi Industri 4.0 serta anjakan menghadapi norma baharu.
Selain itu, Perdana Menteri telah diberikan taklimat mengenai usaha LAKSANA. Taklimat itu termasuk laporan mingguan pencapaian Pakej PRIHATIN dan PENJANA oleh Menteri Kewangan yang bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam penyampaian pakej berjumlah RM295 bilion itu kepada rakyat dan syarikat yang memerlukan.
Tambahan pula, usaha LAKSANA dalam memantapkan jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta juga adalah tunjang penting bagi menjayakan pelan pemulihan ekonomi negara. – BH Online