M Update, 23/9/2020 – Aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya tetapi masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.
Beliau berkata JSPT menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.
“JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azisman berkata oleh itu mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya. – BERNAMA