M Update, 23/2/2021 – Malaysia akan melancarkan Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G pertama di Asia Tenggara – usaha bersama oleh agensi pakar keselamatan siber nasional, CyberSecurity Malaysia (CSM), Huawei Technologies (M) Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, makmal ujian akan menjadi model keselamatan siber secara menyeluruh yang merangkumi sejumlah senario dan menawarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih dan penilaian perkakasan.
“Ia akan merangkumi ekosistem ujian 5G yang komprehensif yang terdiri daripada teknologi seperti rangkaian akses radio 5G (RAN), rangkaian Edge dan juga aplikasi cloud.
“Makmal ujian juga menjalankan kes ujian termasuk keselamatan Interner Pelbagai Perkara (IoT), keselamatan telekomunikasi dan melihat bagaimana untuk meningkatkan kesediaan untuk bertindak balas terhadap serangan siber yang berkaitan dengan 5G,” katanya.
Saifuddin berkata, perkara yang membabitkan Internet, kesalinghubungan, data, pembangunan kapasiti, pembangunan, e-perniagaan, dan keselamatan siber, kerajaan Malaysia melihatnya daripada pendekatan holistik dan ia adalah daripada platform nasional iaitu Agenda Digital Nasional dan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini bukan yang terbaik tetapi saya berpendapat ini adalah langkah ke hadapan, mungkin ada antara anda yang mengenali Koridor Raya Multimedia (MSC) versi Malaysia,” kata Saifuddin.
Beliau berkata MSC dibentuk 25 tahun lalu dan sekarang kerajaan sedang melihat versi MSC yang baharu. Ia mungkin akan dinamakan sebagai MSC 2.0 tetapi yang lebih penting, kami memiliki platform nasional, dan ia merujuk kepada Digital Nasional dan 4IR,” katanya. – Bernama