M Update, 15/03/2021 – Lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.
Kemenangan lagu ciptaan Ezra Kong, Noki dan Loca B itu melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000. Naib juara AJL35 menjadi milik lagu Semalam nyanyian dan ciptaan Aina Abdul menyaksikannya membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.
Menduduki tempat ketiga pula lagu Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita. Kemenangan itu melayakkan mereka memenangi trofi dan wang tunai RM20,000. Suara penuh emosi Ernie Zakri mendendangkan lagu Gundah ciptaannya dan Sharon Paul membawa tuah apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik pula menerima trofi dan wang tunai RM12,000 serta baucar McDonald’s Malaysia selama setahun menjadi milik Zizi Kirana menerusi lagu Eh.
Lagu lain yang turut bertanding adalah Kau Sakiti dendangan Amir Masdi, Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter). Turut bersaing, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Peluang Kedua (Nabila Razali), Semalam (Aina Abdul) dan Hutang (Floor 88).
Persembahan 12 finalis AJL35 diadili oleh 10 juri profesional yang diketuai oleh Datuk Mokhzani. Juri lain termasuklah Azmeer, Ajai, Datuk Syafinaz Selamat, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Datuk Acis dan Lukhman S.
Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus diadili terlebih awal iaitu dari segi melodi, lirik, vokal, produksi dan susunan dalam rakaman, manakala baki 20 peratus melalui persembahan, vokal termasuk susunan muzik secara langsung pada malam kemuncak.
AJL35 yang disiarkan dalam norma baharu itu menyaksikan gandingan tiga pengacara, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Husni. Malam kemuncak AJL35 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh Ratu Rock, Ella bersama Naim Daniel dan Yonnyboii.
Selain itu, buat kali pertama, lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju K-Clique yang berjudul Baik Semula dipersembahkan. Lagu berkenaan berkisar situasi semasa pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia. Kemudian, segmen interlude pula mengetengahkan persembahan bertemakan Projek Band menampilkan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret.
Semua kumpulan mempersembahkan aksi medley dan ‘mash up’ lagu-lagu terbaik, bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain. – BH Online