M Update, 17/03/2021 – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui tidak bimbang pasukannya akan melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini tanpa kelibat Safawi Rasid.
Safawi mengalami kecederaan lutut ketika aksi menentang UiTM FC, Sabtu lalu dan dijangka akan berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu. Mora bagaimanapun menjelaskan dia memiliki sekurang-kurangnya lima pilihan pemain lain yang dilihat mampu mengisi kekosongan posisi sayap kanan yang ditinggalkan Safawi.
“Pasukan ini masih mempunyai Arif Aiman (Hanapi), Ramadhan Saifullah, (Mohamadou) Sumareh, Akhyar (Rashid) untuk diturunkan,” kata Mora. Malah Nazmi (Faiz Mansor) juga boleh bermain di posisi itu. Saya sememangnya belum tahu lagi untuk menurunkan siapa sebagai penggantinya.
“Saya bernasib baik kerana pemain ini sentiasa beraksi dengan begitu cemerlang jika diberi ruang. Semua ini hanya berkenaan pemain dan saya hanya bertindak sebagai pemberi keyakinan kepada mereka. Safawi seorang pemain yang terbaik di dalam Malaysia, seperti mana yang saya pernah beritahu banyak kali sebelum ini. Tetapi inilah bola sepak, ada masanya anda perlu berehat untuk sembuh daripada kecederaan,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel menegaskan dia perlu memilih barisan kesebelasan terbaik untuk berdepan JDT.