M Update, 30/03/2021 – Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar mengikut saluran yang sah dan betul dalam pernikahan poligami untuk mengelakkan timbulnya sangkaan buruk serta salah sangka dalam kalangan ahli keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebaik-baiknya pernikahan itu perlu berlandaskan kejujuran, keikhlasan supaya rumah tangga yang dibina mendapat berkat dari ALLAH SWT.
“Bercakap yang benar dan berunding sebaik-baiknya. Saya yakin sekusut mana pun masalah itu akan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Mengulas mengenai kegiatan poligami ekspres di negara ini yang didakwa menjadi sumber pendapatan sesetengah pihak, Zulkifli berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri.
“Saya tak dapat mengulas panjang lebar mengenai isu ini kerana perlu mendapatkan maklumat daripada beberapa pihak termasuk Jakim dan juga pihak berkuasa agama negeri. “Kita akan melihat apakah kegiatan ini berlaku dalam skala besar atau hanya melibatkan kes-kes terpencil,” katanya.
Sumber : SH Online