M Update, 02/04/2021 – Rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.
Kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit. di mana sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi ‘pasport’ untuk mereka bergerak.
“Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini, tanpa halangan pihak berkuasa. Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta. – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shelly Sheliza Ahmad, peserta pada Sesi ‘Townhall’ Wawasan Kemakmuran Bersama, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. Muhyiddin turut mengulangi nasihat kepada rakyat agar tidak bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu.
“Saya sama juga seperti Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg), kekal sihat dan cergas selepas menerima dua dos vaksin itu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita,” katanya.
Sebagai individu pertama di negara ini menerima vaksin, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengalami sebarang kesan terhadap kesihatannya.