M Update, 27/10/2021 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air selepas mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK).
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 3.45 petang dengan ketibaan Seri Paduka berdua disambut anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Turut berada di Pangkalan TUDM adalah barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
Sejurus tiba, Seri Paduka berdua menjalani ujian saringan Covid-19 seperti ketetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan sebelum terus berangkat ke Istana Abdulaziz di sini bagi menjalani kuarantin kendiri.
Seri Paduka berdua juga telah menjalani ujian saringan itu di London, tiga hari sebelum berangkat pulang.
Seri Paduka berdua berlepas ke UK pada 17 September lepas bagi lawatan khas selama 10 hari, yang merupakan lawatan kedua Seri Paduka berdua ke negara itu sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, dengan lawatan pertama pada 2019 selama tujuh hari bermula 9 Disember.
Pada lawatan kali ini, Seri Paduka berdua berkenan melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford selain turut berkenan bertemu komuniti rakyat Malaysia di London.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst yang merupakan tempat Seri Paduka menimba ilmu ketenteraan dari tahun 1978 hingga 1979. – SH Online