Input your search keywords and press Enter.

Undi18: Kematangan pengundi kayu ukur landskap politik negara?

BERDASARKAN rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 1.2 juta individu berusia antara 18 hingga 20 tahun kini sudah layak untuk terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. Menerusi pelaksanaan Undi 18, banyak suara-suara mengatakan individu ini rata-rata belum cukup matang untuk diberikan kuasa memilih pemimpin negara.

Keresahan yang disuarakan adalah berbentuk fahaman individu berusia 18 tahun mungkin akan menggunakan emosi dan mudah terdedah kepada sebarang bentuk pengaruh yang boleh memberi kesan kepada undian mereka. Namun, isu kematangan ini bukan isu baharu kerana, dari permulaan isu Undi 18 mula diutarakan sudah banyak pihak yang membahaskan tentang perkara ini.

Naratif ini sekali lagi meraih perhatian ramai apabila Undi 18 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana melihat kepada kenyataan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan terdapat pelbagai perkara perlu diteliti bagi memastikan proses pelaksanaannya akan berjalan dengan lebih lancar.

Mengapakah isu kematangan pengundi ini menjadi salah satu perkara besar dan adakah kematangan ini semata-mata diukur oleh kebolehan belia di Malaysia untuk mengundi sahaja. Jika benar, kematangan pengundi bakal menjadi penentu undian yang bakal dibuat oleh belia di Malaysia, di manakah rasionalnya?

Adakah wajar, untuk kita melabel belia tidak matang disebabkan ketidakupayaan belia untuk membuat keputusan untuk mengundi dan kurang kefahaman terhadap pendidikan politik dan ilmu berkaitan negara?

Kita perlu melihat kepada kelompongan yang menjurus kepada berlakunya belia yang kurang faham mengenai pengetahuan asas negara. Jika bakal pemimpin negara ini dilihat lemah kita harus meneliti semula asas yang dibekalkan kepada mereka, terutama soal sistem pendidikan yang menjadi acuan kepada belia.
Bercakap soal kematangan ianya sesuatu perkara yang terlalu subjektif kerana tidak ada sesuatu keadaan spesifik yang boleh mengukur dan menetapkan suatu perkara yang dilakukan itu adalah membawa takrifan matang.

Memetik dari kenyataan dikeluarkan oleh Sinar Harian, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata perlu ada pertimbangan pada kematangan dan bukan hanya terhad pada umur sahaja. Selain beliau turut menyatakan penetapan mengundi pada umur 18 tahun adalah berpandukan kepada konsep demokrasi ciptaan Barat.

Tidak dinafikan, terdapat segelintir remaja yang mudah dipengaruhi dan memiliki latar belakang kehidupan yang berbeza, namun isu kematangan bukan sesuatu yang boleh diukur dan ia memiliki pelbagai tafsiran. Kematangan menurut teori kematangan, Gesell dipengaruhi oleh dua faktor iaitu faktor baka dan persekitaran yang menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikal individu berikut.

Secara keseluruhannya, majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan halatuju negara. Malahan, mengikut garis panduan United Nation Convention of Right of Child, umur 18 tahun telah diiktiraf sebagai cukup dewasa dan boleh membuat keputusan.

Jika diteliti juga menerusi perkembangan pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan orang muda, boleh dikatakan Malaysia sebenarnya bersedia untuk membenarkan belia berumur 18 hingga 20 tahun ini untuk memilih. Terdapat ramai juga yang dilihat mempertikaikan sistem pendidikan Malaysia (pendidikan sivik dan pendidikan pengundi) yang dikatakan tidak memberi persediaan yang cukup kepada belia untuk terlibat dalam proses pilihan raya negara.

Melihat kepada keperluan ini, bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik telah memperkenalkan buku komik Under 18 kepada Dewan Rakyat yang bertujuan mendidik belia tentang kepentingan mengundi. Inisiatif ini turut diharap mampu mendapat pertimbangan ramai sebagai sebahagian daripada program kesedaran dan pendedahan awal pendidikan politik kepada belia. Usaha ini dilihat mampu mendidik belia menjadi warganegara yang bertanggungjawab kerana komik berbentuk pendidikan sivik ini bertujuan mendidik dan bukan sebagai buku propaganda politik.

Negara-negara lain rata-rata membenarkan umur 18 tahun untuk mengundi dan terlibat di dalam proses demokrasi negara. Bukanlah bermaksud kita mengambil contoh dari negara luar menjadikan kita seolah-olah tiada identiti. Namun jika dilihat bagaimana kepercayaan yang diletak pada belia muda di negara luar mengapa kita tidak boleh memberi peluang yang sama kepada belia di Malaysia?

Undi 18 mempunyai kedua-dua kelebihan dan kekurangan namun satu perkara yang perlu kita akui, demokrasi adalah hak individu. Tidak bermakna seseorang belia memilih untuk mengundi parti yang tidak dominan bermakna undi yang dibuat adalah sia-sia. Di dalam konteks demokrasi, sebarang undian dan pandangan adalah hak peribadi masing-masing dan kita tiada kuasa untuk menghukum undi yang tidak sehaluan dengan pendirian kita adalah salah atau tiada nilai.

Perlu untuk kita sedari, perubahan dalam lanskap politik melalui peluang yang diberikan kepada belia berusia 18 tahun melalui Undi 18 akan membantu memperkasakan dan memperluaskan lagi sfera demokrasi dalam kalangan anak muda. Tidak kira bila akan berlaku, namun peluang dan ruang ini perlu diberikan kepada belia tanpa perlu menilai sejauh mana kematangan mereka. Belia-belia ini adalah asas kepada pembangunan negara di masa hadapan dan kita tidak boleh menyekat hak yang telah diberikan.

Isu pengundi 18 tahun mula dicetuskan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dengan tujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda dan membawa perubahan baharu kearah landskap politik dengan penglibatan remaja.

Kesimpulannya, kita perlu berhenti untuk mempertikaikan tentang isu Undi 18 kerana telah dibahasakan secara terperinci di dalam parlimen dan rang undang-undang tersebut sudah diluluskan secara sebulat suara pada 2019. Sebaliknya, kita perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan jurang yang ada serta memikirkan langkah yang perlu diambil untuk memastikan pelaksanaan dan aplikasi Undi 18 ini membawa perubahan dan mampu membuktikan segala label dan stigma yang diletakkan pada belia Malaysia adalah tidak benar.

Oleh: Nur Amirah Abd Rani
Pelajar Sarjana