M Update, 28/02/2022 – Banjir di penghujung musim tengkujuh di negeri ini, sudah meragut dua nyawa selepas seorang remaja menjadi korban bencana itu malam tadi.
Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, yang dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, ditemui jam 10 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira 50 meter daripada lokasi terakhir.
Pada masa sama, warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris Jumaat lalu, ditemui lemas jam 7 petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta air.
Katanya, ketika banjir melanda, orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat air selain ada yang bermain air yang dikhuatiri boleh mengundang padah.
“Justeru, setiap kali berlakunya banjir, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan tidak bermain air yang boleh menyebabkan berlaku tragedi. Ia berikutan beberapa daerah yang kita lihat arus banjir sangat deras dan situasi itu sangat membahayakan sekiranya orang ramai bersikap berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan biasa,” katanya.
Terdahulu, banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,439 orang pagi ini, berbanding 6,316 mangsa petang semalam. Kesemua mangsa membabitkan 2,745 keluarga itu ditempatkan di 70 pusat pemindahan di tujuh daerah.