M Update, 05/07/2022 – Kejohanan Badminton Masters Malaysia yang disingkap tirainya hari ini menerima tamparan apabila jaguh negara, Lee Zii Jia dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen menarik diri.
Ketiadaan Zii Jia dan Axelsen yang muncul juara Terbuka Malaysia semalam jelas menyebabkan kejohanan yang bernilai RM1.58 juta itu hilang serinya. Namun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) harus menyalahkan diri sendiri kerana kesilapan dalam menentukan tarikh kedua-duanya kejohanan itu.
Kelazimannya, Terbuka Malaysia yang lebih berprestij diadakan selepas Masters Malaysia yang menjadi tempat pemanas badan sebelum kejohanan itu. Katanya, dia sebenarnya amat menantikan penyertaan di Masters Malaysia dan Terbuka Singapura namun keadaan fizikal seperti perlu mengambil rehat selepas beraksi secara berturut-turut sebelum ini.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan di sepanjang minggu yang penuh sibuk ini. Saya sudah tentu sangat gembira dengan keputusan dalam tiga kejohanan sebelum ini.
“Sesuatu yang menarik dapat beraksi di Indonesia dan Malaysia di hadapan penyokong yang menakjubkan. Terima kasih juga kepada pasukan saya, keluarga dan rakan atas sokongan berterusan.
“Saya sangat ingin untuk beraksi semula di Kuala Lumpur minggu ini dan kemudian di Singapura, namun apabila saya bangkit daripada tidur pagi ini, badan dan kepala saya seakan memberitahu yang ini adalah masa untuk berehat dan mengembalikan tenaga sebelum kembali turun beraksi di gelanggang.
“Saya memerlukan beberapa hari untuk berehat, meraikan kemenangan saya bersama keluarga dan kemudian membina semula sasaran yang baharu,” kata Axelsen dalam hantarannya di Instagram.
Semalam, pemain dari Denmark itu menewaskan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento Momota 21-4, 21-7 dalam tempoh 34 minit sekali gus muncul selaku pemain kedua Eropah yang menjuarai Terbuka Malaysia selepas dilakukan Pete Gade pada 2007.
Ia juga kemenangan sulungnya di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu selepas menjuarai Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia bulan lalu.
Dalam pada itu, undian Masters Malaysia yang dikeluarkan semalam turut menyaksikan tiada nama Zii Jia tersenarai sekali gus mengesahkan penarikan dirinya.
Di Terbuka Malaysia minggu lalu, Zii Jia tewas di pusingan kedua di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh satu jam enam minit. – Berita Harian